assalamualaikum abang
sayang mintak maaf atas segala khilaf yang telah terjadi antara kita
sepanjang abang mengikat mahar atas nama sayang dahulu. saat abang
menuturkan "Aku terima nikahnya Qistina Amira binti Mohammad.." hati
ini sentiasa berdebar. Abang, ikhlas sayang mengaku. Sepanjang sayang dan abang saling berkasih
sayang pada lembaran alam rumah tangga kita, hati sayang tak pernah berhenti
detak debar. Kadang-kadang sayang cuba
mendengar tiap degup jantung dengan stetoskop dan sayang mengalami palpitasi
yang tinggi. Makin hari makin kuat
degup. Debaran yang terasa lebih kuat
dari saat mula-mula abang merisik sayang dengan malu-malu dahulu. Abang, inilah debaran cinta yang sayang rasa
buat abang, suami sayang yang halal buat sayang merindu.
Abang, masih melekat kemas di fikiran kenangan abang dan keluarga bertandang
ke rumah keluarga sayang bertahun lalu. Kita
mula bertemu empat mata hanya 3 saat. 3
saat sahaja abang dan akhirnya hati kita tertaut. Persahabatan kedua ibu bapa kita disatukan
menjadi besan hanya kerana bibir abang yang tak mampu diam. Masih sayang ingat bagaimana abang tersipu
malu selepas tersasul mengatakan “awak cantik.”
Hanya kerana abang tersasul dalam pertemuan 3 saat itu kita disatukan. Hanya 3 saat kita bertemu dan akhirnya abang
yang berkongsi hati dan rasa ini. Hanya
3 saat hati kita lalai lalu mata saling meandang lalu syaitan merasuk minda dan
mulut melafazkan kata pujian. Saat itu
hati ini ragu, apakah benar keputusan sayang menerima pinangan abang.
Tapi kata mama, mereka lebih kenal diri abang. Anak yang baik dan ustaz yang hebat. Lulusan reka bina dari Ireland, hafiz quran
dan abang juga imam yang khusyuk. Mama menyerahkan
segalanya pada sayang. Mama turut
membawa pesan, ibu abang menetapkan tarikh seminggu sebagai jawapan. Abang, sayang rebah dalam istikharah setiap
malam sepanajang seminggu penantian. Dini
hari sayang penuh dengan rembesan air mata yang mengalir. Ketakutan menyelubungi hati dan
perasaan. Kebimbangan merantai seluruh
tubuh sayang. Dan Allah Maha Agung telah
menunjukkan semua. Abang hadir dalam
mimpi yang akhir membawa mawar merah dan cincin belah rotan.
Abang,
Masih sayang ingat dan tidak akan terlupa.
Pertama kali sayang bergelar isteri pada seorang imam yang akan menjadi
peneman kala resah duka sayang. Sayang menangis
sepanjang malam apabila setiap masakan sayang hancur. Ayam kicap sayang hangus, sup sayur sayang
masin dan nasi sayang mentah. Sayang terhiris
tangan berkali-kali luka situ sini. Sayang
akhirnya terduduk lemah. Tak mampu
sayang memandang wajah abang yang keletihan dan menanti makanan dari isteri
yang baru dinikahi ini. Tapi abang hanya
tersenyum. Memaut tubuh sayang dan
mengatakan
“takpa, cuba lagi..malam ni malam
istimewa sayang. Abang belanja megi kick
ala abang.”
Akhirnya kita sama-sama terpaku di depan tv berkongsi megi kosong air tangan
abang. Sedap...sangat sedap. Air tangan abang yang ikhlas demi isterimu.
Sayang juga masih ingat tika berkali-kali sayang jatuh kerana tangga rumah
baru kita licin. Abang sanggup berlari
mendapatkan sayang walaupun ketika itu abang berada jauh. Kata abang, “abang akan jadi tempat sayang
berpaut tika rebah dan luka.” Terima kasih
abang..
Sayang juga tak akan lupa saat abang demam panas sehingga bibir kering dan
pucat kekuningan. Sayang menangis dan
menangis bimbangkan abang. Tapi abang
tersenyum. Dalam menggigil kesakitan
abang gagahkan diri memeluk sayang lalu berkata “tiada ubat yang mampu
menyebuhkan abang, melainkan doamu sayang.”
Hati ini tersentuh dan setiap detik tak putus sayang doakan abang mohon
diringankan sakit yang meguji. Hanya buatmu
abang.
Abang,
Mungkin abang tidak sedar lalu menuturkan tanpa berfikir panjang. Tapi wajah abang yang serius
bersungguh-sungguh membuatkan sayang terkedu.
Semalam yang lalu, tepat jam 12 malam. Ulangtahun
ke 7 perkahwinan kita. Sayang menghantar
jantung hati kita Haikal dan Farisha kepada mama. Semuanya demi abang. Memasak nasi beriani ayam madu kesukaan
abang, mencari lilin aroma lavender yang abang suka, menghiaskan kamar tidur
penuh dengan wangian lavender seperti tahun-tahun lalu dan memainkan lagu kita
sehingga seluruh rumah bagai syurga.
Abang tahu, sayang masih seperti dulu.
Berkali-kali terhiris tangan kerana kalut bermain dengan masa untuk
menyiapkan beriani special untuk abang. Sayang
juga terjatuh berulang kali apabila terpaksa berkejaran dari satu ke satu kedai
mencari lilin aroma kesukaan abang.
Jangan bimbang abang, sayang tak sakit.
Sebab hati hanya dipenuhi cinta buat abang.
Dan akhirnya abang balik. Bersama mawar
merah sejambak dan kotak jewellery Tiffany.
Terima kasih abang. abang tak
pernah berubah. Masih yang sama yang hadir ke mimpi sayang dulu.
Tapi abang juga membawa hadiah lain, yang menggetarkan hati ini. Yang membuatkan sayang terkedu lalu tersenyum. Abang galak bercerita itu ini sepanjang
outstation 5 hari ke Selangor. Dan penutup
cerita abang untuk ulang tahun kita adalah,
“sayang, izinkan abang berkahwin lagi..”
Sayang terkedu abang. Cukup
terkedu. Bagai ada yang merasuk untuk
sayang menangis teresak-esak lalu meraung bagai histeria. Tapi abang, sayang tak akan meraung seperti
wanita tak punya iman. Kerana abang sudah
cukup menanamkan sinar keikhlasan dalam hati ini.
Sayang hanya tersenyum dan mengangguk.
Kahwinlah abang andai dia tersurat jodoh abang. hati wanita mana yang tak sakit tika suami
tersayang meminta izin untuk berkongsi kasih abang. hati wanita mana yang tak pedih untuk melihat
suami yang dipeluk setiap hari dipaut orang.
Hati wanita mana yang tabah abang saat melihat suami yang membelai
setiap hari kini memegang tangan wanita lain.
Sedangkan Aisya turut cemburukan Siti Khadijah apalagi sayang yang hati
serapuh lidi. Tapi demi abang, sayang
ikhlaskan. Ikhlaskan semua. Bahagialah bersama dia abang. Dan hari ini abang gembira, tersenyum hingga
matahari turut gembira bersama dia di samping.
Sayang turut gembira abang.
Sayang bahagia bila abang bahagia.
Sayang minta maaf tak dapat hadir bersama di hari bahagia abang kerana
sayang terpaksa membawa anak-anak pergi.
Pergi jauh agar hati ini terubat.
Mungkin abang lupa, janji abang tika malam pertama kita diijab
kabulkan. Tika abang mencium dahi ini
dan memandang wajah ini.
“Sayangku yang cantik, cinta pinjaman Allah ini hanya ingin aku kongsikan
buatmu. Andai suatu hari aku mungkir
lalu mengabaikanmu atau aku mengangkat mahar atas nama wanita lain selain
darimu maka jatuhlah talak satu padamu. Aku
janji.”
Dan abang, hari ini saat abang mengikat lafaz ijab kabul dengannya maka
terlerailah ikatan antara kita. Halalkan segala apa yang hadir
dari abang buat sayang selama ini. Jangan
abang cuba mencari sayang lagi. Hati ini
masih perlukan ruang untuk bertenang.
assalamualaikum
No comments:
Post a Comment