....inI AdaLAh CrAyoN waRnA WarNI seCRet tARi KaNAk-kANak MaTEmatIKa....

~~kengkawanz~~

Saturday

kerana cinta mama finale

11

“Aku terima nikahnya Zara Medina Binti Mohd Rayyan Muslim dengan maharnya sepelengkap alat solat tunai.”

Mama, papa.  Zara dah kahwin.  Dengan lelaki yang Zara tumbuk dulu.  Katanya Zara bukan tumbuk mukanya, tapi hatinya. 

kerana cinta mama 10

10


 “Kak Zara!!!”  Aku pusing ke belakang.  Alisha yang baru masuk tadika berlari-lari ke arahku.  Aku mendepakan tangan ingin menyambut Alisha dalam pelukan.  Ku cium pipi Alisha bertalu-talu.  Di belakang Alisha tercegat satu batang tubuh yang cukup ku kenali sedang tersenyum manis. 

“Jom balik.  Tok ma dengan tok abah dah tunggu.” 


Aku mencapai tangannya.  

Berjalan seiringan sambil mendukung si comel Alisha.  

kerana cinta mama 9

9


Aku menguis pasir pantai yang memutih.  Dari jauh kapal nelayan kelihatan kecil terumbang-ambing.  Teringat kejadian Tsunami 2004 yang juga melumpuhkan Banda Acheh serta merubah Port Dickson. 

Pantai ini juga pernah mengganas.  Ombak setinggi pokok Rhu membaham pantai dan menghanyutkan Toyota Sedan papa.  Alhamdulillah kami sekeluarga di China.  Bila mendengar berita tentang ombak besar juga merempuh kediaman kami dari kedutaan, papa terus pulang.  Mengabaikan amaran gelombang Tsunami kedua.  Katanya Tok Yah, ibu makcik Tipah sendirian. 

Bila kami sampai, papa tidak kalut mencari Sedannya yang hilang.  Malah papa juga tidak kalut menjengah rumah apa yang rosak, apa yang musnah.  Papa berlari ke rumah Tok Yah.  Papa seperti gila bila Tok Yah tidak dijumpai. 

Mama menenangkan papa.  Kata mama rumah hampir roboh, mungkin tok Yah di bawa ke pusat pemindahan.  Dan benar sangkaan mama tok Yah selamat menjadi tukang masak professional di pusat pemindahan. 


Aku menyeka air mata yang mengalir di pipi.  Mama, papa…Zara rindu.  

kerana cinta mama 8

8


 “Abang sudah la tu marahnya.  Budak tu dah tak ada dah.”

“Hati saya ni hancur dah.  Kita didik dia dari kecil tapak tangan ni.  Saya sayang dia, manjakan dia.  Apa kurangnya Aizat tu, cukup.  Sempurna.  Tapi dia lari pergi ikut budak cina tu jugak.”

“Itu kan kisah lama.  Bukan jodohnya dengan Ijat tu.  Nak buat macam mana.”

“Awak tak rasa apa saya rasa.”

“Saya ni ibu dia.  Saya lebih rasa dari abang.  Sakit bersalinkan dia pun tak hilang lagi.”

Haji Deraman meneguk air dari cawan putih corak bunga ros kecil ditabur.  Mama pun sukakan ros. 

“Sudah-sudah la marahnya.  Cucu kita datang abang pulak buat perangai.”

“Itu bukan cucu kita.  Saya taka da cucu macam tu.  Aurat tak jaga.  Gaya budak Bandar.  Cakap orang bandar.  Saya tak ada cucu macam tu.”

kerana cinta mama 7

7


Pukul 10.30 aku dah berguling-guling atas katil.  Sengal belikat memandu dari siang.  Pintu dikuak dari luar.  Kepala si comel Faqih, tukang baca doa tadi dan anak angkat Haji Deraman, Alisha menjengah.  “Selimut.”  Dia letak gebar tebal di muka pintu dan terus hilang.  Aku ambil comforter biru laut tadi terus membalut tubuh.  Hangat.  Tetapi tak sehangat pelukan mama. 

Mama, dinginnya malam ini seperti dinginnya layanan mereka.  Kenapa mama merindu keluarga tua yang dingin ini mama.  Mereka membenci kita.  Mereka tidak menyenangi kita.  Air mataku deras mengalir. 

Tidak sedar bilaku terlelap, yang pasti aku tersedar bila alarm telefon membingit.  Aku menggeliat berkali-kali membetulkan belikat yang ketat.  Aku ambil tuala dan berus gigi.  Terhuyung hayang turun ke dapur.  Kosong.  Tak ada orang bangun lagi.  Aku buka lampu dapur dan lampu tandas.  Kepala paip besi tembaga yang berkilat ku pulas malas. 

Mengantuk. 

Air yang turun melalui batang paip mengenai kepala. 

“Warghhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!” Derapan kaki kedengaran berlari ke bawah serentak dengan jeritanku.  Bising pintu tandas diketuk.  Aku buka dengan menggigil. 

“Kenapa??!!” soal Yazid anak sulung Haji Deraman.

“Sejukkk..” jawapku dalam terketar-ketar. 


“MasyaAllah.”

kerana cinta mama 6

6


 “Dah siap jamaknya?”  Isteri Haji Deraman tegur aku yang baru keluar dari bilik.  Aku angguk dengan senyum lebar.  “Mari, makan.”

Haji Deraman dah tunggu di lantai dengan muka kelat.  Ahli keluarga lain pun ada sama.  Makan dalam bulatan bersila di ruang tamu.  Lepas doa makan dari si kecil berkopiah tapi tak berbaju diaminkan semua makan tanpa suara.  Hanya isteri Haji Deraman yang ramah menyuruh aku tambah lauk tambah nasi.  Terung masak lemak putih dengan ikan puyu goreng.  Lauk kegemaran mama, dan juga aku. 

Sudah makan, kaum lelaki turun ke pangkin luar rumah.  Ada yang msuk bilik.  Yang muda-muda menghadap televisyen.  Perempuan pula sibuk mengemas sisa makanan.  Aku pula berdiri di tengah-tengah.  Tak tahu mana arah tuju.  Haji Deraman bersila di pangkin dengan secawan kopi suam.  Isterinya juga hilang di dapur dengan riuhnya ketawa dan borak sakan anak menantu dalam loghat aku sendiri tidak faham. 


Akhirnya aku melangkah ke dapur turun jadi kera sumbang di hiruk-pikuk kaku dan dentingan periuk belanga.  

kerana cinta mama 5

5


Aku memandu perlahan menyusuri jalan kecil melalui batas sawah padi.  Selepas melepasi tujuh lapan petak sawah aku berhenti di pinggir jalan bila ku sedar hutan seperti menebal di hadapan dengan kelapa sawit di kiri kanan.  Habis laaa rasa macam sesat je.  Nak u-turn pun tak lepas ni.  Nak menangis pun ada bila tengok matahari dah di hujung kaki langit.  Arghhh!!! Air yang bertakung di tubir mata ku seka.  Apa pun yang ada kat depan sana harapnya yang baik saja. 

Bismillahitawakal taalallah….aku baca bula ayatul kursi.

Habis je ayatul kursi aku tekan minyak.  Dalam hati dah macam kompang dipalu pengantin malu, ewwaah.  Makin jauh aku masuk kebun kelapa sawit makin gelap pula rasa.  Dalam kepala dah bermain macam-macam lembaga.  Seumur hidup aku tak pernah memandu malam sendirian.  Aku penakut.  Ya aku mengaku. 

kerana cinta mama 4

4


Hari ini genap tujuh hari mama pergi.  Tanah kuburnya masih basah.  Arwah mama dikebumikan rapat ke kubur papa bawah pohon kemboja rendang. 

Makcik Tipah dengan Kak Mariam sibuk berceloteh sambil menyiang sayur nak dibuat masak lemak.  Malam ini kenduri tahlil dan doa selamat hari tujuh.  Kak Mariam yang tengah sarat mengandung tak berhenti cerita.  Ada sahaja celotehnya.  Pasal karenah anak muridnya di tadika.  Menantu makcik Tipah ni serasi dengan mertuanya.  Dua-dua panjang akalnya dalam bercerita.  Tak pernah mulutnya nak lenguh.  Macam murai.  Bibirku tak putus menyungging sengih kerana terusik dengan celoteh mereka berdua.  Terubat rasa rindu pada mama.  Hilang seketika sedih yang mengulit hati. 

kerana cinta mama 3

3


Aku merapati mama, mengusap rambut ikalnya.  Mama tidak pernah potong rambut walaupun seringkali dia mengeluh panas kepala berpeluh.  Papa sukakan rambut mama panjang mengurai.  Kata papa, mama wanita cantik, tapi kalau rambut mama panjang mengurai mama wanita paling cantik di mata papa. 

Dulu ketika papa masih ada, dan cinta mereka masih membara papa selalu lurutkan rambut mama dengan minyak kelapa.  Supaya rambut hitam berkilat.  Aku mewarisi rambut mama.  Ikal hitam lebat.  Mukaku melayu hidung ku tak tinggi tapi mataku kecil mewarisi mata Bidayuh papa.  Dari aku kecil papa selalu merungut katanya mama selalu mengidam ubi kayu rebus sewaktu mengandung sebab itu mukaku melayu.  Ahh..papa.  Rindunya aku padamu bertalu-talu.

Mama yang terjaga mengusap tanganku.  Lembut.  Tangan tuanya terasa hangat.  Matanya jatuh pada ombak yang menderu menampar pantai.  Teringat kisah cinta mereka mungkin.  Setiap petang mama memimpin tanganku menyusuri pantai.  Biar kaki dicecah ombak.  Kami berdua selalunya bisu, biar bayu yang berbicara dan nyanyian dedaun kelapa yang menyapa. 

kerana cinta mama 2

 

2


Aku pandang lagi wajah mama.  Sejak dulu mama suka membaca.  Dalam bilik hujung penuh dengan buku-buku yang papa hadiahkan.  Setiap bulan papa akan pastikan mama ada buku baru.  Kata mama “Membaca ni buat otak kita mengembara.  Bangsa membaca bangsa Berjaya.”  Tapi aku tetap aku, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. 

Sebenarnya aku tahu, membaca buat mama teringatkan kembali papa.  Cintanya pada papa tak pernah luntur malah setiap pagi mama menziarahi kubur papa.  Membuang rumput-rumput liar tumbuh melata.  Berteleku bagai berbicara.  Kata orang, mama gila meroyan.  Tidak!  Mama bukan gila meroyan.  Tapi mama gila bayang.  Asyik terbayang papa yang menuntunnya ke syurga.

Papa pergi kerana kata doktor, jantung papa dah tak mampu menahan hayatnya.  Jantung papa bukan asli.  Dari muda papa hidup dengan jantung besi yang kalau kilat petir bersabung papa menggigil ngilu.  Dan mama sentiasa ada, memeluk papa erat dengan gebar tebal.  Ketika papa pergi, aku yang masih mentah lemah dan rapuh hanya menjerit menangis.  Tapi mama yang kuat tiap-tiap hari berpesan, “Sayangku, papa bukan tinggalkan kita.  Tapi papa pergi dulu siapkan tempat di syurga sana, buat kita.”

Ketika setahun usia pemergian papa, mama di panggil ke sekolah kerana aku menumbuk Iskandar  anak Penolong Kanan Pentadbiran sekolah.  Aku juga yang lagi sebulan akan menduduki STPM hanya mengetap bibir bila mama menampar pipiku buat pertama kali. 

Selepas Isyak mama mengusap tanganku.  “Kenapa pukul Iskandar ?”  Tanya mama lembut.  Dia usap lagi pipiku.  Aku tunduk.  Sedih.  Terasa hati.  Kalau papa ada mesti mama tak tampar aku.  “Sayang marah mama?”  Mama memegang daguku membawa mataku memandang wajahnya.  “Mama minta maaf ye.”

Banjir pipiku dengan air mata, hati yang terguris tadi lantas sembuh tanpa parut.  Mana mungkin aku marahkan mama yang sudah tumpah darah melahirkan aku ke dunia. 

Keesokannya awal pagi lagi aku menghadap Iskandar  meminta maaf.  Dia kelihatan kaget.  Lebam di pinggir matanya masih bersisa.  Berani-berani lagi kata mamaku gila.  Dia wanita paling sempurna, bukan hanya pada mataku malah pada mata dunia.  Mamaku anak terbuang yang dijulang.  

kerana cinta mama 1

1
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Hilang emak hilang saudara
Kerana kasih hamba turutkan

Aku pandang wajah sepi mama.  Tenang lena di ulit bayu.  Ku lirikkan mata ke arah jam di dinding.  Ahh..baru pukul 3.  Patut la mama tidur.  Pandangan kembali jatuh pada wajah tua mama.  Di usia 50-an mama masih cantik.  Wajahnya putih pipinya lembut.  Matanya dipenuhi kedut-kedut halus.  Tapi mama tetap cantik.  Aku pernah bergurau, “Mama kalau masuk Miss World paling teruk pun dapat nombor dua.  Nombor satu tak boleh la Erra Fazira dah rebut takhta.”  Mama hanya tergelak kecil sambil menguli karipap. 

Angin lembut yang menampar pipinya semakin mengulit wajah tua itu makin lena.  Selepas zuhur tadi televisyen di ruang tamu sunyi sepi,  bila ku cari mama sedang membaca di kerusi malas di beranda rumah. 

Beranda yang arwah papa sendiri bina untuk mama.  Katanya mama suka berangan sambil memandang pantai.  Lalu berdirilah sebuah pangkin kecil di bawah pokok rhu hujung pagar sana.  Kukuh berdiri pangkin cinta mama, walaupun papa bina sebulan mereka berkahwin. 

Sebelum papa pergi dia sempat upah Pak Mat tambahkan beranda berpagar di belakang rumah.  Kata papa mama cuai jadi kena tambah pagar nanti jatuh tergolek.  Kata papa lagi, nanti bila papa tak ada, mama sendirian mesti mama dah malu nak bermalas-malasan di pangkin.  Bolehlah mama berangan di beranda.  Beranda yang menghadap pantai itu teduh melawan matahari.  Dan benar kata papa, seminggu siapnya beranda mama papa pergi menghadap Yang Esa.

Mama senang di sini.  Di kampung pinggir laut ini.  Walaupun bukan tempat lahir asal usulnya.  Kata mama, di sini cintanya bersemi.  Mama anak terbuang, kerana cinta mama turutkan.  Papa bukan melayu, lahir dalam keluarga serba mewah di tanah seberang Laut China Selatan.  Mama pula melayu Timur, yang mana seperti anak perempuan melayu lain di kampungnya dilatih menjadi suri buat rumah tangga.  Mama berhati lembut, katanya sopan.  Berhalus dan bertatasusila.

Kata mama, mereka bertemu di pinggiran pantai.  Tapi kata papa, sudah tertulis pertemuan mereka di Luh Mahfuz.  Papa yang baru jinak-jinak merpati meninggalkan agama asal, memeluk Islam lantas melamar mama bersaksi tok abah dan tok ma.  Tapi seperti mana melayu kampung lain, papa ditolak mentah kerana papa bukan calon yang terbaik.  Anak bekas cikgu Yahya dah chop mama dari kecil lagi.  Kata abah, “Baik budaknya bagus agamanya.  Apa lagi dia melayu anak kampung kita.”

Papa pergi, cuba melupakan mama.  Tapi siapa sangka, mama anak yang selalu tunduk diam menurut kata akhirnya mengikut hati.  Tercoret indah bait pantun empat kerat di kulit belakang diari hitam kulit tebal mama. 

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Hilang emak hilang saudara
Kerana kasih hamba turutkan