....inI AdaLAh CrAyoN waRnA WarNI seCRet tARi KaNAk-kANak MaTEmatIKa....

~~kengkawanz~~

Saturday

kerana cinta mama 3

3


Aku merapati mama, mengusap rambut ikalnya.  Mama tidak pernah potong rambut walaupun seringkali dia mengeluh panas kepala berpeluh.  Papa sukakan rambut mama panjang mengurai.  Kata papa, mama wanita cantik, tapi kalau rambut mama panjang mengurai mama wanita paling cantik di mata papa. 

Dulu ketika papa masih ada, dan cinta mereka masih membara papa selalu lurutkan rambut mama dengan minyak kelapa.  Supaya rambut hitam berkilat.  Aku mewarisi rambut mama.  Ikal hitam lebat.  Mukaku melayu hidung ku tak tinggi tapi mataku kecil mewarisi mata Bidayuh papa.  Dari aku kecil papa selalu merungut katanya mama selalu mengidam ubi kayu rebus sewaktu mengandung sebab itu mukaku melayu.  Ahh..papa.  Rindunya aku padamu bertalu-talu.

Mama yang terjaga mengusap tanganku.  Lembut.  Tangan tuanya terasa hangat.  Matanya jatuh pada ombak yang menderu menampar pantai.  Teringat kisah cinta mereka mungkin.  Setiap petang mama memimpin tanganku menyusuri pantai.  Biar kaki dicecah ombak.  Kami berdua selalunya bisu, biar bayu yang berbicara dan nyanyian dedaun kelapa yang menyapa. 


Kata mama dulu waktu mula-mula berpindah ke sini ombak di sini tenang.  Tidak pernah bergelombang.  Papa dan mama akan berjalan bertuntun tangan menyulam cinta mereka.  Dan bila papa pergi dulu, aku mula mengambil-alih tugas papa. 

Tapi sekarang mama banyak diam memandang langit.  Jalannya makin perlahan.  Lututnya dah tua, hilang pelincir kata mama.  Aku pula selalu ketawa, kerana mama pelanggan setia Pamoga.  Aku selalu mengajuknya bila dia selesai solat, “Mujur ada Pamoga.”  Dan mama ketawa senang. 

Pernah suatu hari, ketika kami sama-sama bisu.  Berzikir dalam hati dan memandang burung yang terbang pulang ke sarang.  Mama meluahkan hasrat melawat kampung halamannya.  Aku tersentak.  Dulu papa dan mama pernah pulang melawat tok abah dan tok ma.  Ketika itu aku masih merah.  Tok abah langsung tidak memandang wajah mama dan papa malah diam tidak berkata. 

Bila tok ma memanggil mama, tok abah cepat mencantas “Kita tak pernah ada anak perempuan!”  Keras sungguh hati tok abah walaupun aku yang terkebil-kebil dihulurkan kepadanya. 

Kalau anak sudahku buang
Cucuku juga tak ingin dipandang. 

Kebelakangan ini mama selalu menyebut kampungnya.  Katanya rindu pula rambutan belakang rumah tok abah.  Terbayang rambutan gading menguning lebat.  Aku belikan mama rambutan gading sekilo.  Tapi tidak pula berjamah.  Dibiarkan layu dalam plastik.  Bila makcik Tipah datang bergosip di dapur dengan mama, dikupasnya sekilo rambutan lalu direbus air gula.  Jadilah kordial rambutan penuh satu botol.  Tiap-tiap hari aku minum air rambutan sampai naik jemu. 

Kata mama lagi rindu nangka madu tok abah selalu belikan ketika kecil.  Habis pasar aku jelajah cari nangka madu dari pasar kering ke pasar basah ke pasar raya.  Tapi terbiar buruk tak dimakan.  Akhirnya makcik Tipah jugak yang rajin potong halus dibuatnya aiskrim Malaysia penuh satu peti.  Aku sedekahkan ke surau biar budak-budak mengaji makan. 

Tapi satu saja yang tak mampu aku beli, kata mama dia rindukan keluarganya.  Aku jadi patung batu kapur, mana mungkin aku mampu beli sebuah keluarga.  Kalau mampu sudahku beli sedozen ‘papa’ buat penyeri hari-hari mama.  Tentu mama tak sunyi lagi. 

No comments:

Post a Comment