....inI AdaLAh CrAyoN waRnA WarNI seCRet tARi KaNAk-kANak MaTEmatIKa....

~~kengkawanz~~

Saturday

kerana cinta mama 1

1
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Hilang emak hilang saudara
Kerana kasih hamba turutkan

Aku pandang wajah sepi mama.  Tenang lena di ulit bayu.  Ku lirikkan mata ke arah jam di dinding.  Ahh..baru pukul 3.  Patut la mama tidur.  Pandangan kembali jatuh pada wajah tua mama.  Di usia 50-an mama masih cantik.  Wajahnya putih pipinya lembut.  Matanya dipenuhi kedut-kedut halus.  Tapi mama tetap cantik.  Aku pernah bergurau, “Mama kalau masuk Miss World paling teruk pun dapat nombor dua.  Nombor satu tak boleh la Erra Fazira dah rebut takhta.”  Mama hanya tergelak kecil sambil menguli karipap. 

Angin lembut yang menampar pipinya semakin mengulit wajah tua itu makin lena.  Selepas zuhur tadi televisyen di ruang tamu sunyi sepi,  bila ku cari mama sedang membaca di kerusi malas di beranda rumah. 

Beranda yang arwah papa sendiri bina untuk mama.  Katanya mama suka berangan sambil memandang pantai.  Lalu berdirilah sebuah pangkin kecil di bawah pokok rhu hujung pagar sana.  Kukuh berdiri pangkin cinta mama, walaupun papa bina sebulan mereka berkahwin. 

Sebelum papa pergi dia sempat upah Pak Mat tambahkan beranda berpagar di belakang rumah.  Kata papa mama cuai jadi kena tambah pagar nanti jatuh tergolek.  Kata papa lagi, nanti bila papa tak ada, mama sendirian mesti mama dah malu nak bermalas-malasan di pangkin.  Bolehlah mama berangan di beranda.  Beranda yang menghadap pantai itu teduh melawan matahari.  Dan benar kata papa, seminggu siapnya beranda mama papa pergi menghadap Yang Esa.

Mama senang di sini.  Di kampung pinggir laut ini.  Walaupun bukan tempat lahir asal usulnya.  Kata mama, di sini cintanya bersemi.  Mama anak terbuang, kerana cinta mama turutkan.  Papa bukan melayu, lahir dalam keluarga serba mewah di tanah seberang Laut China Selatan.  Mama pula melayu Timur, yang mana seperti anak perempuan melayu lain di kampungnya dilatih menjadi suri buat rumah tangga.  Mama berhati lembut, katanya sopan.  Berhalus dan bertatasusila.

Kata mama, mereka bertemu di pinggiran pantai.  Tapi kata papa, sudah tertulis pertemuan mereka di Luh Mahfuz.  Papa yang baru jinak-jinak merpati meninggalkan agama asal, memeluk Islam lantas melamar mama bersaksi tok abah dan tok ma.  Tapi seperti mana melayu kampung lain, papa ditolak mentah kerana papa bukan calon yang terbaik.  Anak bekas cikgu Yahya dah chop mama dari kecil lagi.  Kata abah, “Baik budaknya bagus agamanya.  Apa lagi dia melayu anak kampung kita.”

Papa pergi, cuba melupakan mama.  Tapi siapa sangka, mama anak yang selalu tunduk diam menurut kata akhirnya mengikut hati.  Tercoret indah bait pantun empat kerat di kulit belakang diari hitam kulit tebal mama. 

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Hilang emak hilang saudara
Kerana kasih hamba turutkan 

No comments:

Post a Comment